PENAFIAN: Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor mengenai kesihatan anda.
Bahan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan kepada anda. Sekiranya anda menyedari simptom kesihatan atau jatuh sakit, anda perlu menghubungi doktor bagi rawatan lanjut.

Saturday, May 15, 2010

Pencuci Benzil Sulfonat Berantai Bercabang

Sabun dari segi sejarah dicipta oleh orang-orang Rom kira-kira 3500 tahun yang lalu. Sejarah menunjukkan bahawa orang-orang Rom membuat sabun dari tradisi memanggang kambing pada upacara keagamaan. Lemak yang terhasil dari proses panggang tersebut akan bercampur dengan bahan berbes yang terdapat dalam abu kayu api untuk menghasilkan sabun atau dikenali sebagai sapo pada masa itu. Perkembangan selanjutnya melalui permintaan sabun yang meningkat dan kuasa pencucian yang tinggi menyebabkan pencuci sintetik yang dihasilkan dari petroleum digunakan untuk menghasilkan sabun. Di antara bahan pencuci yang dihasilkan ialah pencuci benzil sulfonat berantai bercabang (Benzyl Alkyl Sulfonate - BAS) yang mana penggunaannya di Malaysia telah diharamkan baru-baru ini.

Bagaimana pencuci bertindak mengeluarkan kotoran?

Bahan kotoran dicuci melalui perlarutan kotoran dengan air. Sesetengah kotoran yang degil (seperti kotoran berminyak) memerlukan bahan pencuci yang membantu percampuran bahan kotoran dengan air. Oleh itu, molekul pencuci akan terdiri daripada bahagian yang terlarut dalam bahan berminyak dan bahagian yang terlarut dalam air.

Kotoran berminyak ini dikelilingi dan diikat oleh molekul-molekul pencuci untuk membentuk misel-misel kecil yang kemudian akan dikelilingi pula oleh air. Dengan cara ini kotoran ini akan dapat dikeluarkan. Rajah 1 di bawah menunjukkan bagaimana kotoran di keluarkan oleh bahan pencuci pada kulit.

Bagaimana pencuci sintetik boleh menjejaskan kesihatan?

Pencuci sintetik boleh menjejaskan kesihatan manusia melalui interaksinya dengan sel sehingga menyebabkan kematian sel. Satu kajian menunjukkan pencuci sintetik berupaya mengeluarkan lapisan lelemak yang terdapat pada kulit. Lapisan lelemak ini penting kerana ia menghalang bahan-bahan toksik dari masuki tubuh. Apabila lapisan lelemak ini berkurangan, maka molekul pencuci sintetik akan bertindak pula pada lapisan dalaman kulit untuk membunuh lebih banyak sel memandangkan keupayaannya memusnahkan protin. Rajah 2 menunjukkan bagaimana pencuci sintetik merosakkan kulit. Selain daripada itu terdapat laporan yang menyatakan bahawa organ dalaman seperti hati dan organ pembiakan boleh mengalami kerosakan yang serius.

Apakah kesan tak langsung pencuci sintetik ke atas manusia?

Sejumlah 5.9 juta pembelian serbuk pencuci kain dilaporkan di Malaysia setiap tahun. Dari rekod pembelian ini, tidak kurang 6 juta liter bahan pencuci sintetik akan dilepaskan ke sungai-sungai. Disebabkan pencuci sintetik seperti BAS sukar dilupuskan dalam alam sekitar, maka pengumpulan bahan tersebut akan berlaku. Pencuci sintetik didapati boleh membunuh kehidupan akuatik pada kepekatan yang kecil di samping menyebabkan pencemaran alam sekitar. Menurut satu penyelidikan, pendedahan selama 6 jam sahaja sudah cukup untuk membunuh 70% hidupan akuatik (lihat Rajah 3). Kemusnahan sepenuhnya kehidupan akuatik akan menjejaskan ekosistem lain yang bergantung kepadanya sebagai sumber makanan.

Selain dari itu pencuci sintetik juga boleh menyebabkan perubahan atau mutasi sel. Sekiranya ini terjadi maka kemungkinan sel-sel mutan ini berkembang dengan cepat untuk menghasilkan kanser. Atas kesedaran inilah, maka kerajaan mengambil keputusan untuk mengharamkan bahan pencuci sintetik yang tidak mudah lupus dalam alam sekitar dan menukarnya kepada bahan pencuci yang mudah terurai.

Mengenalpasti pencuci sintetik

Perhatikan dengan teliti pada label kotak pencuci untuk mengelak daripada menggunakan pencuci sintetik. Selain daripada BAS bahan-bahan tambahan lain yang terkandung dalam pencuci tersebut antaranya:-

  • Fluorescent: Tujuannya ialah untuk memutihkan pakaian supaya kelihatan bersih.
  • Fosfat merupakan pemukal yang biasa dimasukkan kedalam pencuci sintetik sebagai agen menanggalkan kotoran. Ia dipercayai penyebab utama pencemaran air dan mempercepatkan pertumbuhan alga. Namun begitu penggunaannya telahpun diharamkan dan sebagai gantinya, zeolite pula digunakan.
  • Silika dicampurkan ke dalam kebanyakan pencuci sintetik dengan tujuan untuk melembutkan air dan ini akan meningkatkan keupayaan mencuci.
  • Garam beralkali juga biasa dicampurkan, antaranya; natrium karbonat, natrium silikat dan natrium metasilikat.

Kebanyakan pencuci di pasaran sekarang tidak melabelkan kandungan bahan pencuci dan ini menyukarkan kita untuk memastikan sama ada pencuci tersebut sabun asli atau pencuci sintetik. Di sini terdapat satu ujian mudah untuk mengenalpastikan pencuci tersebut . Sediakan satu bekas lutsinar atau pun gelas, cuka (asid asitik) dan air.

  1. Campurkan sedikit sabun pencuci ke dalam bekas yang mengandungi air.
  2. Biarkan sehingga sabun pencuci larut buat seketika.
  3. Kemudian campurkan sedikit cuka dan perhatikan apa yang berlaku.
  4. Hasil dari ujian ini, didapati jika pencuci itu adalah:
    • sabun asli, tiada buih dan air menjadi keruh,
    • pencuci sintetik, berbuih dan air kelihatan jernih,
    • campuran pencuci sintetik dan sabun, berbuih dan air menjadi keruh.

Walau bagaimanapun dengan membuat ujian ini kita tidak dapat mengetahui kandungan surfaktan yang terdapat dalam pencuci tersebut.

Penggantian sabun sintetik kepada sabun asli

Ancaman pencuci sintetik terhadap pencemaran alam sekitar dan kesihatan telah pun terbukti. Penggunaan sabun asli yang dihasilkan daripada lemak semulajadi haiwan atau pun tumbuhan contohnya minyak kelapa sawit adalah selamat. Sabun asli dihasilkan daripada proses kimia yang mudah. Terdapat 2 kaedah yang boleh digunakan iaitu prosessaponikasi dan peneutralan. Proses saponikasi melibatkan tindakbalas antara lemak haiwan atau tumbuhan dengan natrium atau kalium hidroksida di mana sabun dan gliserin akan dihasilkan. Manakala proses peneutralan pula tindakbalas antara asid lemak yang diperolehi daripada hidrolisis lemak yang dineutralkan dengan natrium atau kalium hidroksida untuk membentuk sabun. Natrium hidroksida menghasilkan sabun biasa, iaitu sabun soda, manakala kalium hidroksida menghasilkan sabun kalium. Kedua-dua sabun berikut berupaya terurai dalam alam sekitar dan mudah diuraikan oleh mikroorganisme dalam jangkamasa yang singkat. Oleh itu ekosistem hidupan akuatik tidak akan terganggu.

Memandangkan sabun asli mudah terurai dan dapat dilupuskan dalam alam sekitar, penggunaannya harus digalakkan. Masyarakat harus sedar dan prihatin tentang keburukan pencuci sintetik ke atas kesihatan dan alam sekitar. Industri pembuatan sabun asli juga perlu dipertingkat dan diperkembangkan lagi dalam usaha mengurangkan pencemaran alam sekitar.


Apakah Bahan yang Beracun?


Apa sahaja bahan yang anda makan, hidu atau sentuh yang menyebabkan penyakit atau maut boleh dianggap RACUN.
Kita tahu ada banyak jenis racun seperti plumbum dan arsenik. Tetapi ramai di antara kita tidak sedar bahawa kita boleh mengalami keracunan akibat penggunaan bahan-bahan seharian. Ini termasuk ubat-ubatan.
Di rumah kita terdapat banyak bahan-bahan yang boleh menjadi racun. Ketahuilah bahan-bahan ini dan lindungilah diri dan keluarga kita daripada bahaya akibat keracunan.
Kanak-kanak terutamanya sering terdedah kepada sediaan kimia di rumah. Antara bahan-bahan tersebut:

AmoniaBahan pencuci tandas
Sediaan pencucian keretaPembunuh serangga
PelunturRokok dan tembakau
KamforPewangi
Serbuk pencuciDisinfektan
Serbuk pencuci pingganPencuci longkang
Penggilap perabutBaja-baja tumbuhan
Minyak petrolPewarna rambut
Bateri butangBahan pemetik api
Ubat-ubatanSimen
Ubat gegatPengilap kuku
Pencuci pengilap kukuBahan pencuci dapor
TurpentinZat besi

Ramai kanak-kanak mati akibat tertelan bahan-bahan beracun. Untuk melindungi anak-anak anda, ambil langkah-langkah pencegahan berikut:

  • Simpan semua bahan beracun jauh daripada kanak-kanak.
  • Jangan sekali-kali simpan minyak tanah, minyak petrol atau lain-lain bahan beracun dalam botol minuman kerana kanak-kanak mungkin akan cuba meminumnya.

PENSEL WARNA BERBAHAYA


PRN, Universiti Sains Malaysia memandang serius laporan akhbar tempatan tentang pensel berwarna yang didapati mengandungi plumbum dan arsenik pada kandungan yang melebihi paras bahaya. Penggunaan pensel sedemikian jika tidak diawasi boleh membahayakan pengguna kepada risiko keracunan terutamanya pada kanak-kanak. Bagi meningkatkan kesedaran tentang bahaya yang dimaksudkan, pada kali ini PENAWARACUN akan menerangkan secara ringkas perihal keracunan membabitkan plumbum dan arsenik.

Bahaya Plumbum Dan Arsenik

Plumbum dan arsenik, kedua-duanya adalah sejenis logam berat, sering didapati di dalam tanah malah ia mungkin tersebar secara meluas di permukaan bumi kita. Di persekitaran kita, plumbum sering ditemui pada berbagai hasilan industri dan komersial seperti bateri, penebat dawai elektrik, cat, bahan-bahan seramik dan pasu, air daripada paip plumbum dan petrol plumbum manakala arsenik pula mudah didapati dan sebenarnya digunakan dalam bahan-bahan racun rumpai, pengawit kayu, rodentisid, dan agen pengeras dalam aloi logam.

Di samping itu, plumbum boleh didapati pada berbagai jenis haiwan. Namun begitu, ia dipercayai tidak mempunyai apa-apa kegunaan fisiologi tertentu pada manusia.

Bagaimana plumbum dan arsenik boleh mendatangkan bahaya?

Jika plumbum memasuki tubuh kita, ia boleh menyingkir logam-logam lain yang berguna di dalam tubuh manusia dari tapak ikatan normal, lalu menyebabkan kesan tertentu. Logam-logam yang disingkir termasuklah zat besi, zink dan kuprum. Penyingkiran zat besi umpamanya boleh menjejaskan pembentukkan sel darah merah normal. Arsenik pula apabila memasuki tubuh kita akan mengikat pada kumpulan kimia sulfihidril pada berbagai jenis enzim lalu menjejaskan metabolisme sel.

Apakah kesan yang boleh diperhatikan akibat keracunan plumbum dan arsenik?

Pendedahan kronik plumbum boleh mengakibatkan kembung dan senak perut, sembelit, kurang selera makan, sakit kepala, dan lesu. Ensefalopati yang dicirikan oleh kehilangan keseimbangan pergerakan badan, meracau, koma dan sawan boleh dialami oleh kanak-kanak.

Arsenik pula boleh mengakibatkan kerengsaan pada kulit, membran mukous, serta saluran pernafasan dan gastrousus. Kesan-kesan lain termasuk rasa lesu, kurang selera makan, rasa loya dan muntah-muntah, hepatitis, rasa kebas di anggota pinggiran (neuropati) dan pengguguran rambut. Lebih membimbangkan ialah kemungkinan terjadinya kanser paru-paru dan kulit akibat pendedahan jangka panjang. Sakit tekak, sakit perut, muntah-muntah dan cirit-birit adalah di antara tanda-tanda mendadak yang boleh dialami. Maut akan terjadi jika terdapat banyak air dan elektrolit hilang.

Untuk Maklumat Lanjut Hubungi PRN (04-6570099) Pada Waktu Pejabat.

Keracunan Kanak-kanak Di Rumah


Sedarkah anda bahawa keracunan berpunca daripada pengambilan sediaan-sediaan yang terdapat di rumah? Dan ini kerap terjadi membabitkan kanak-kanak. Sediaan-sediaan yang membahayakan selalunya mengandungi etanol atau alkohol jenis lain pada kepekatan yang tinggi, sabun bahan pencuci, sesetengah sediaan pendandan rambut dan pencuci kuku. Tanda-tanda keracunan apabila terjadi biasanya terdiri daripada gangguan gastrousus (perut).

PRN prihatin tentang kemalangan yang melibatkan keracunan kanak-kanak. Statistik awal yang dikumpulkan oleh Pusat Racun Negara menganggarkan kadar keracunan membabitkan sediaan-sediaan di rumah adalah antara 16 sehingga 30 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan. Daripada jumlah ini, lebih kurang 90% membabitkan kanak-kanak dalam peringkat umur seperti berikut:

1 hingga 3 tahun 60%

3 hingga 6 tahun 20%

6 hingga 11 tahun 10%

Antara sediaan yang paling kerap terlibat termasuklah bahan-bahan seperti minyak tanah, bahan pencuci termasuk bahan peluntur, sabun, syampu dan alat kosmetik. Tempat yang paling bahaya mengakibatkan keracunan di rumah adalah di dapur -50%, bilik air -20%, dan bilik tidur -10%.

Sepuluh (10) kategori utama keracunan membabitkan sediaan di rumah.

  • Sabun dan bahan pencuci
  • Alat kosmetik dan sediaan kegunaan peribadi seperti minyak wangi dan kolon badan
  • Hidrokarbon seperti minyak tanah
  • Tumbuh-tumbuhan
  • Alat-alat mainan seperti desikan (bahan pengering)
  • Insektisid dan pestisid (racun makhluk perosak) seperti organofosfat dan karbamat
  • Alat-alat lukisan termasuk pen marker dan magic, dakwat
  • Cat, varnis, pencair cat
  • Deodaran seperti pewangi udara, semburan badan
  • Rodentisid (racun tikus) yang meningkatkan risiko pendarahan

Bila sepatutnya mengesyaki kanak-kanak mengalami keracunan?!

  1. Pernah memakan barang-barang yang beracun.
  2. Kanak-kanak berumur antara 1-5 tahun. Mereka dianggap berisko tinggi kerana gemar memasukkan apa sahaja ke dalam mulut.
  3. Kanak-kanak menjadi sakit secara mengejut terutama sekali jika pesakit mengalami gelugut (konvulsi) tanpa demam atau tidak sedarkan diri (koma) tanpa sebarang sebab yang nyata.
  4. Kesakitan yang dialaminya melibatkan beberapa bahagian badan/organ tanpa sebarang sebab nyata.
  5. Nafas kanak-kanak berbau sesuatu yang luar biasa atau terdapat tanda-tanda kotor atau melecur pada mulut dan bibir.
  6. Muntah darah tanpa sebab.

Adakah minyak wangi anda selamat?

WANGIAN telah digunakan sejak zaman silam dalam upacara keagamaan tetapi kemudian penggunaannya berkembang sebagai kosmetik dan hampir dalam setiap produk harian. Kaum wanita selalu dikaitkan dengan minyak wangi dan produk wangian atau haruman sehingga ada yang sanggup berbelanja besar hanya untuk memiliki wangian yang berkenan di hati. Wangian dikatakan menggambarkan peribadi si pemakai. Pada waktu siang, wa ngian yang dihasilkan dapat menimbulkan rasa kegembiraan, keyakinan, keceriaan, segar dan bersih. Pada sebelah malam pula, wangian dikatakan mampu melahirkan perasaan, menonjolkan sifat kewanitaan, misteri dan romantik.

Penggunaan wangian yang mengandungi bahan kimia berbahaya memberi kesan buruk kepada si pemakai dan anak dalam kandungan selain orang persekitaran yang menghidunya. (AFP)

Hampir setiap produk yang berkaitan dengan wanita mempunyai wangian seperti sabun, barangan kosmetik, syampu, pelembut kain, potpuri, penyembur rambut, kertas tisu, detergen, kertas tulis dan sebagainya. Tujuan wangian hanyalah untuk menghasilkan bau wangi pada si pemakai, barangan kegunaan peribadi atau udara di sekeliling selain menjadikan pakaian berbau "bersih", kosmetik "cantik" dan peralatan rumah "terjaga". Wangian juga menambahkan rasa "bersih" apabila menggunakan produk kebersihan diri terutamanya selepas mandi. Namun, kebanyakan kita tidak menyedari yang ia boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan teru tamanya bagi wanita mengandung.

BAU

NAMA BAHAN (CONTOH)

BAHAN KIMIA AKTIF (% BERAT BERSIH)

TANDA KERACUNAN

Limau, lemon

Fruity-fragrance 86-173

Limonin > 50%

Kanser, keradangan pada mata dan kulit

Lavender

Lavender-fragrance

93-054

Linalool 10-50%

Gangguan pernafasan

Tomato

Tomato Oil 010

Propilin glikol > 50%

Keradangan mata dan kulit, jika tertelan boleh menyebabkan sawan

Pudina

Spearmint oil 660

Karvon > 50%

Menyebabkan keradangan pada mata dan kulit.

Musim bunga

Spring Flowers Fragrance 5975

Karbitol 10 – 50%

Gangguan pernafasan dan sistem saraf, keradangan mata.

Pepermin

Peppermint 501

1-Menthol 10 – 50%

Loya yang teruk, muntah, sakit perut, vertigo, hilang keseimbangan pergerakan anggota badan, mengantuk dan koma.

Buah-buahan

Bergamont Oil 100

Linalil asetat, lomonin, linalool, 10 – 50%

Gangguan pernafasan, keradangan mata dan kulit.

Bunga-bungaan

Bouquet Floral3881

Benzal asetat 10 – 50%

Kanser pankreas, keradangan mata, saluran pernafasan dan batuk.

Kulit Kayu Manis

Cinnamon Oil 950

Sinamik Aldehid > 50%

Keradangan sistem pernafasan dan kulit, mengantuk. Jika tertelan menyebabkan muntah, sakit perut dan cirit- birit.

Pine

Alpha Pinene P & F

a-Pinen 97.5%

Mengganggu sistem pernafasan, kerosakan paru-paru, vertigo, denyutan jantung meningkat, pening, halusinasi, kebakaran dan kesan kebakaran pada kulit, konjunktivitis, merosakkan sistem pertahanan badan.

Lilac

Alpha Terpineol P & F, FCC

a-Terpineol 88.5%

Keradangan lapisan mukus dalam paru-paru, pneumonitis, edema, susah bernafas, kehilangan koordinasi anggota badan, sakit kepala.

Kandungan Wangian

Setiap produk wangian mengandungi bahan kimia wangian sama ada asli atau sintetik dan pelarut yang bertindak sebagai media atau foundation. Peratus kandungan kimia wangian adalah di antara satu hingga 30% dan ini bergantung kepada jenis produk. Namun daripada analisis makmal yang dilakukan didapati sebanyak 95% bahan kimia yang terkandung di dalam produk wangian adalah bahan kimia sintetik daripada jenis petroleum seperti terbitan, benzena, aldehid dan kimia toksik lain.

Seorang pembuat wangian tempatan mengisi wangian daripada Perancis di bilik belakang sebuah kedai di Bagdad pada 4 Mei 2003 (AFP)

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan mendapati daripada kesemua bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan kosmetik, 815 daripadanya adalah bersifat toksik. Manakala kajian yang dilakukan oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar, Amerika (EPA) pada tahun 1991 pula menunjukkan terdapat kloroform dalam pelembut pakaian dan p-diklorobenzena iaitu sejenis bahan kimia karsinogen (penyebab kanser) pada paras yang tinggi dalam penyegar udara.

Selain itu, terdapat juga wangian jenis musk boleh memberikan kesan estrogen, neurotoksik dan karsinogen tetapi pada kadar yang lemah. Mengikut kajian Penguatkuasaan Makanan dan Dadah, Amerika (FDA) (1968 hingga 1972), bahan kimia semula jadi seperti alfa-terpineol, benzal asetat, benzal alkohol, limonin dan lionalol yang sering ter dapat dalam kosmetik (daripada 138 bahan) didapati kerap memberi kesan sampingan kepada si pemakai.

Bahaya Kesihatan

Bahan kimia yang terkandung dalam wangian boleh menyebabkan kesan alahan, asma, kanser, kecacatan bayi dalam kandungan, keguguran, penyakit sistem saraf seperti parkinson, alzheimer dan lain-lain. Ia juga boleh memberi kesan keracunan kepada manusia melalui pernafasan dan sentuhan kulit sama ada secara akut (jangka pendek) atau kronik (jangka panjang).

Kesan keracunan akut biasanya disebabkan alahan seseorang terhadap kimia wangian tertentu, ada individu yang sangat sensitif dan menunjukkan tanda alahan walaupun terdedah dengan bau atau sapuan kecil. Terdapat juga individu yang tidak menunjukkan sebarang tanda keracunan akut walaupun terdedah pada dos yang tinggi. Keracunan kronik adalah disebabkan penggunaan yang berulang pada tempoh yang lama dan tanpa disedari sehinggalah muncul tanda keracunan.Produk yang memberi kesan langsung kepada sistem pernafasan adalah seperti penyegar udara, semburan wangian badan dan rambut, pengilat kuku dan pelarutnya serta lain-lain. Semburan, wap atau gas bahan kimia ini akan memasuki saluran pernafasan dan memberi kesan kepada bahagian hidung, tekak, paru-paru dan seterusnya ke bahagian anggota badan lain melalui sistem peredaran darah.

KANDUNGAN KIMIA

TANDA

3-Burten-2-one

Keradangan pada kulit dan sistem pernafasan

Aseton

Merencat sistem saraf pusat, kekeringan pada mulut dan tekak, pening, loya, hilang koordinasi, pertuturan tidak jelas dan koma.

Siklopenta(g)-2-benzopiran

Keradangan pada kulit, mata dan saluran pernafasan.

Ertanol

Keletihan, keradangan pada mata dan bahagian atas sistem pernafasan, pening, penglihatan yang kabur, hilang koordinasi anggota badan, kebas.

Atil asetat

Sakit kepala, kebas, kulit kering dan merekah, kekurangan darah, kerosakan hati dan buah pinggan, keradangan pada mata dan saluran pernafasan.

Fenil metal ester

Gangguan sistem saraf, kanser

Hidrosinamaldehid, p-tert-butil-alfa-metil

Separuh sedar, kesukaran bernafas, gangguan sistem reproduktif lelaki.

Metilin klorida

Kanser, sesak nafas (kerana dimetabolisme kepada karbon monoksida), sakit kepala, kebasm pening, penat, mudah terganggu.

Phenol, 2,60bis(1,1-dimetileti)-4-metil

Kanser, memberi kesan pada anak dalam kandungan dan sistem pembiakan.

Ftalik ester

Gangguan sistem saraf dan bayi dalam kandungan

Benzaldehid

Merencat sistem saraf pusat, keradangan pada mulut, tekak, mata, kulit, paru-paru, loya, sakit perut dan kerosakan buah pinggang.

Kampor (kapur barus)

Alahan pada kulit, keradangan pada mata, hidung dan tekak, pening, loya dan sawan.

Benzal alkohol

Keradangan bahagian atas sistem pernafasan, pening, loya, muntah, tekanan darah rendah, merencat sistem saraf, kegagalan fungsi pernafasan.

Karbitol

Keradangan pada mata, kulit, saluran pernafasan paru-paru.

Produk yang terlibat melalui sentuhan kulit pula ialah sabun, syampu, krim, pencukur, peluntur pakaian, barangan kosmetik, detergen, pelembut pakaian dan lain-lain. Bahan kimia ini boleh menjerap ke dalam lapisan kulit dan memasuki aliran darah seterusnya memberi kesan ke bahagian lain anggota badan.

Jadual berikut menunjukkan contoh bahan kimia di dalam produk wangian seperti minyak wangi, penyegar udara, sabun pencuci pinggan mangkuk, pewarna dan pencuci kuku, penyembur rambut, penyembur badan, produk kosmetik, syampu, sabun, peluntur pakaian dan pelembut pakaian, detergen dan potpuri.

Tanda Keracunan

Secara amnya keracunan wangian ditunjukkan oleh tanda berikut seperti yang dikeluarkan oleh Pusat Kebangsaan Strategi Kesihatan Alam Sekitar, Kanada pada tahun 1990:

Mata berair, penglihatan berganda, bersin, sesak nafas, alergi rinitis, sinusitis, tin nitus, pening, vertigo, batuk, bronkitis, kesukaran bernafas, ketat dada, asma, anafilaksis, pening, migrain, sakit kepala, disorientasi, kehilangan memori berkala, ketegangan, awan, kemurungan, perubahan tingkah laku, ruam, ekzema, kemerahan, keradangan otot dan sendi, sakit, lemah, denyutan jantung yang tidak teratur dan laju.

Anda dinasihatkan supaya membaca label pada produk wangian terlebih dahulu sebelum membeli bagi mengetahui sama ada bahan kirnia yang digunakan adalah daripada jenis yang selamat kepada diri atau anak dalam kandungan. Elakkan pendedahan bertoksik terutamanya kanak-kanak. Sekiranya ada kemusykilan, anda boleh menghubungi pihak yang bertanggungjawab tentang kesihatan pengguna atau Pusat Racun Negara. Beringatlah! Tidak semua yang wangi itu baik untuk kita.